15 October 2009

Istimewa...untuk Ayah !

AISYAH menutup pintu biliknya perlahan-lahan. Dijengket-jengketkan kakinya supaya lantai tidak berbunyi, kemudian menuruni anak tangga ketingkat bawah dengan berhati-hati. Di hujung tangga dia menoleh ke atas, lega ibu dan ayah tidak sedar apa yang sedang dilakukannya.
PAP! Cahaya lampu kalimantang menerangi ruang dapur rumah teres dua tingkat itu. Aisyah tersenyum lebar. Ya, ini-lah masanya... inilah masanya. Sudah lama dia menantikan saat itu, sekarang sampailah saat yang dinanti-nantikannya.

Hari Sabtu, September 2003, Aisyah ingin memulakan hari itu dengan sesuatu yang istimewa.
Dia mencuci cili merah yang diambil dari dalam peri sejuk dan kemudian mengupas bawang besar. Sebilah pisau tajam dicapai, diikuti papan landas, piring dan mangkuk. Kabinet dibuka, sekali lagi dia tersenyum melihat bekas putih yang penuh berisi tepung gandum. Minyak masak lebih daripada mencukupi.
Senyuman lebar terukir di wajah kanak-kanak comel berusia 11 tahun itu. Dia ingin memulakannya sekarang. Ya sekarang, sebelum ibu dan ayahnya terjaga.
Dengan pantas Aisyah mencedok sesudu tepung tapi ketika hendak menuangnya ke dalam mangkuk...
PRRANGG! sudu itu terlepas daripada genggamannya. Lalu bertaburanlah tepung di atas lantaidan meja.
Aisyah cemas. Habis, habis kotor meja yang baru dibeli ayahnya. Dengan tergesa-gesa dia mengaut tepung itu, namun sisa-sisanya tetap mengotori meja tersebut. Tak apalah, kotor sikit saja, Aisyah menenangkan perasaannya. Sudu tadi dicuci dan Aisyah bersiap untuk memulakan impiannya.
Namun bila melihat meja yang kotor dan aneka bahan di depan matanya, Aisyah tiba-tiba jadi celaru. Mana satu yang patut dimulakan dahulu. Adun tepung? Potong cili? Hiris bawang? Minyak masak? Kuali? Garam?
"Macam mana ni?" Aisyah menggaru kepala.
Dia pandang ke luar. Alamak! Matahari pagi sudah menjengah, mungkin pukul 7.00 pagi. Badannya menggeletar, pasti sekejap lagi ibunya turun ke dapur. Selepas itu ayahnya pula muncul. Habis, habiiiiis! Aisyah perlu siapkan cepat! Dia perlu bersihkan segala kotoran itu sekarang!
"Macam mana ni? Macam mana ni?" Aisyah kian kalut.
Sudah banyak kali Aisyah lihat ibunya memasak makanan istimewa ini, nampak mudah saja tapi... Aaaahhhh!
Tangan Aisyah menggigil semasa menuangkan air ke dalam mangkuk yang berisi tepung. Dikacaunya tepung itu hingga likat. Malangnya dalam sibuk menggaul, tangannya tersinggul cawan yang diletak di tepi meja!
PPRRAANGG"
Lalu berhamburanlah air membasahi lantai dan kain pelapik di bawah sinki. Lekas-lekas kain tersebut dibaling ke dalam bakul atas mesin basuh.
Sambil menggaul tepung bercampur cili dan bawang yang telah dihiris-hiris, berkali-kali Aisyah memandang ke luar jendela. Alamaaaak... dah siang!
"Aku kena siapkan cepat, kalau tidak..." Aisyah tambah kalut.
Malangnya baru menuang sedikit minyak ke dalam kuali yang telah diletakkan di atas dapur, Aisyah teringat sesuatu. Ah, dia sepatutnya mencampurkan adunan tadi dengan ikan bills. Tapi mana ikan bilisnya? Mana? Mana? Hari sudah cerah! Ikan bills perlu disiang, dibasuh.
Aisyah mengesat air matanya yang mula menitis. Dia takut dimarahi ibu kerana mengotori dapur, bimbang dipukul ayah kerana membuat sesuatu yang tidak disuruh. Mereka pasti berang melihat dia memasak seorang diri. Ibu dan ayahnya sudah banyak kali berpesan, 'jangan main pisau, jangan main api'!
Dalam pada Aisyah kalut mengambil minyak masak, menyiang ikan bilis, membubuh garam ke dalam tepung likatnya, tiba-tiba hujung matanya melihat kelibat seseorang di belakangnya. Aisyah menoleh...
"Mama! Ayah!"
Aisyah gamam melihat ibu dan ayah berdiri memandangnya. Tubuh kanak-kanak comel itu menggigil, mukanya pucat lesi. Dia tunduk memandang meja yang kotor dengan ikan bilis, biji cili, kulit bawang...
Lantai pula comot dengan tepung dan minyak masak yang ditumpahkannya. Pinggan, cawan, pisau, piring dan papan landas berterabur di atas meja serta dalam sinki. Air mata Aisyah tak dapat disekat-sekat lagi. Digenggamnya jari-jemari yang penuh bersempudal tepung.
"Mmm... mmama... aa... ayah..." katanya tersekat-sekat, "maafkan Aisyah. Aisyah nak buatkan cekodok untuk ayah, tapiiii..."
Belum sempat dia menghabiskan kata-kata, si ayah duduk di depannya. Aisyah tunduk, tidak berani melihat wajah ayahnya.
"Aa... Aisyah nak... nak buat cekodok. Ayah kan suka cekodok," ulang Aisyah sambil menahan tangisannya. Habis, pasti aku kena marah, pasti aku kena pukul, kata Aisyah di dalam hati.
Tapi tiba-tiba Aisyah merasa tubuh-nya dirangkul penuh erat, kemudian pipi dan dahinya dicium berkali-kali. Pelukan itu hanya dirungkai hampir seminit kemudian dan si ayah merenung wajah cornel anaknya itu. Pandangan dua beranak itu bertembung.

"Ma... maa... maafkan Aisyah ya, ayah..." rayu Aisyah tersedu-sedu.
"Ayah tak marah. Ayah tau Aisyah sayang ayah..." kata si ayah dengan suara sebak. Air matanya juga bergenang. Dipeluknya Aisyah sekali lagi.
Si ibu datang menghampiri. "Bila bunyi bising-bising kat bawah ni, mak dan ayah turun. Kami sejak tadi perhatikan Aisyah. Aisyah nak buat cekodok ni sebab hari ni hari jadi ayah, kan?" tanya pula si ibu sambil membelai rambut anaknya itu.
Aisyah mengangguk. Ya, sejak dua hari lepas sudah diberitahu hajat itu kepada ibunya. Itulah sarapan kegemaran ayahnya, orang yang amat Aisyah sayangi. Dia ingin meraikan hari lahir bapanya itu dengan suatu yang istimewa juga.
"Jom, mari kita buat sama-sama," sambung si ibu lalu menarik tangan Aisyah.
"Okey... ayah kupas ikan bilisnya," sambung si ayah sambil menyeka air mata anaknya itu. Senyuman manis terukir di wajah mereka.
Pembaca budiman, dalam menjalani hidup ini, kita cuba untuk melakukan yang terbaik tapi ia tidak semudah yang direncanakan. Kita berusaha menyediakan sesuatu yang paling istimewa untuk orang tersayang, tapi sering kali kita gagal melaksanakannya.
Kita berusaha memberikan yang terbaik untuk anak-anak, namun bukan mudah melakukannya. Anak-anak pula cuba untuk meraih perhatian serta menunjukkan betapa mereka juga sayangkan ibu dan bapa, tapi bukan semua ibu bapa memahaminya...

No comments:

Post a Comment